Assalamualaikum wbt to all my beloved readers...
Badan masih berpeluh. Masamnya… sebab baru balik berjimba dengan keluarga Kak Diah di Mines. Tapi niat yang dah lama saya pendam untuk membuat nukilan sebegini memang akhirnya Alhamdulillah…terlerai jua. Saya akan cuba menulis dengan menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin dan sebaku mungkin kerana saya mengerti rata-rata pembaca blog ini dari kalangan orang Melayu. Dan saya akan berhenti menggunakan kata-kata kiasan bagi memastikan tidak ada salah faham dan sebagainya kerana nukilan ini bukanlah bermaksud untuk meluahkan perasaan tetapi hanya sekadar renungan seorang hambaNya yang kerdil lagi hina ini.
Manusia…memang semuanya dikurniakan dengan perasaan. Tipulah jika saya katakan yang saya tidak pernah menyimpan perasaan terhadap siapa-siapa. Begitu juga dengan kawan-kawan saya yang umurnya rata-rata dalam lingkungan sebaya…dimana tika umur sebeginilah kita sibuk tercari-cari identiti kita…berperang dengan gejolak hormon dan nafsu…tertanya-tanya…siapakah yang akan akhirnya menakluki hati ini.
Saya sudah faham benar yang manusia mempunyai pelbagai ragam dan perangai. Peramah, baik hati, menjengkelkan…ragam-ragam sebegitu rasanya semua orang sudah pun mengerti kerana ia sudah tercampur dengan asam garam kehidupan harian kita. Ada manusia yang perangainya, oh! Sangat menjengkelkan..tetapi sewaktu masa kita susah…rupa-rupanya orang menjengkelkan itu jualah yang sudi menghulurkan tangan membantu… kalau hendak dibandingkan dengan manusia-manusia lain yang hanya manis mulut berbicara sahaja. Namun begitu, masih ada juga manusia yang luar dan dalam indah sekali akhlaknya. Semoga orang-orang sebegitu sentiasa berada di dalam naungan rahmat Allah swt.
Oklah, panjang lebar sudah saya huraikan yang manusia ini ragamnya pelbagai…namun masing-masing punya perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Bohonglah jika ada manusia yang megatakan yang dia boleh hidup tanpa cinta dan kasih sayang. Orang-orang sebegitu mungkin tidak mengerti bahawasanya kasih sayang itu anugerah daripada Allah...yang diibaratkan sebagai baja yang menyuburkan rasa semangat kita dalam meneruskan liku-liku perjalanan hidup ini. Kasih sayang bukanlah datang daripada sayang berlawan jantina sahaja…kasih sayang Allah, rasul, emak, ayah, nenek, datuk, adik beradik dll.
Namun, focus yang mahu saya berikan dalam nukilan ini ialah kasih sayang terhadap berlainan jenis. Ya, saya amat mengerti…tidak ada cara yang lebih baik bagi menjalinkan hubungan berlawanan jenis ini melainkan nikah. Itu memang saya 100% setuju. Yang membuatkan saya kurang arif ialah cara-cara manusia yang rata-ratanya saya jumpa amat kurang sopan dalam mengolah penolakan cinta terhadap orang-orang yang menunjukkan rasa sayang terhadapnya.
Tolaklah dengan hikmah. Kita selalu mendengar bait-bait ayat ini, bukan? Tidak kiralah si pengekspresi cinta itu lelaki atau wanita, kita tidak wajar menolak cinta mereka dengan kejam. Siapakah kita untuk berlaku kejam terhadap mereka ? Sedangkan ALLAH sendiri sayang terhadap makhluknya. Sedangkan Nabi Muhammad sendiri begitu cinta akan umatnya. Tetapi kita sewenang-wenangnya berlagak angkuh seolah-olah cinta seseorang terhadap kita itu tiada nilainya.
Saya sebagai seorang wanita begitu terkilan sekali apabila terdengar gosip-gosip tentang kaum Adam yang berlagak kurang sopan dan merendah-rendahkan wanita-wanita yang bertepuk sebelah tangan terhadapnya. Jika wanita menunjukkan rasa sayang terhadapmu hai lelaki, wajarkah kau menolak cinta mereka dengan zalim dan angkuh ? Wajarkah kau hanya berdiam diri dan membiarkan wanita itu tertanya-tanya sama ada cinta mereka berbalas ataupun tidak ? Sesungguhnya amat zalim bagi saya jika seorang lelaki itu bertindak mendiamkan diri dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku terhadap wanita yang pernah meluahkan perasaan terhadapnya…Kerana saya juga mengerti..jikalau saya sendiri menghadapi situasi di mana saya tidak mahu bercinta dengan lelaki yang mengaku dia menyintai saya, saya akan cuba sedaya upaya untuk menolak cinta itu dengan lembut dan hikmah. Saya akan cuba berbuat sedemikian..kerana saya tahu..orang tersebut juga mempunya perasaan malu dan takut dihina. Kerana dia juga insan biasa seperti kita semua…memiliki hati dan perasaan dan takut menghadapi kenyataan.
Kenyataan itu memanglah pahit. Tetapi pahit itu masih boleh ditelan bukan ? Saya tahu rata-rata manusia begitu takut dengan perkataan ‘rejection’. Bagi saya, ‘rejection’ itu tidak mengapa kerana bunga bukan sekuntum dan kumbang bukanlah seekor. Cinta dan perasaan, sebaik-baiknya usahlah dipermain-mainkan. Kerana kelak, kita juga yang binasa. Tetapi, sekurang-kurangnya speak…bersuaralah…suarakanlah jawapan pada orang yang mendambakan cinta kita…Beritahu mereka dengan terus-terang dan hikmah bahawasanya “Awak hanya sekadar kawan buat saya” atau “Maaf, hati saya sudahpun dimiliki oleh orang lain”…Katakanlah ayat-ayat sebegitu dengan baik dan tertib kerana manusia yang beriman tahu untuk menerima kenyataan.
Oleh itu, pesanan terakhir buat orang-orang yang sedang dalam dilemma untuk menerima cinta dan mengutarakan cinta, berterus-teranglah dengan penuh hikmah. Gunakanlah cara yang bersesuaian dengan syariat Islam..yang melambangkan Islam itu adalah agama yang adil dan lembut. Berlaku adillah terhadap insan yang mencintai kita kerana takut-takut suatu hari nanti..perbuatan zalim kita terhadap orang akan dihisab di akhirat kelak…dan ketahuilah…dengan berdiam diri sahaja tidak akan mampu memberikan jawapan..kerana bukan semua orang tahu makna diam diri anda itu..
Hidup ini seperti roda..hai pembaca budiman…Jika hari ini kita menghina dan memperlekeh-lekehkan cinta dan sayang orang terhadap kita…tidak mustahil suatu hari nanti cinta kita juga akan diperlakukan sebegitu jua oleh orang yang kita sayangi…
Sekian…Wassalam… :)
No comments:
Post a Comment